Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Ahmad Maslan mengadakan Sesi Taklimat Umum hari ini untuk berkongsi aspirasi Kerajaan di dalam memastikan keterlibatan PKS Bumiputera di dalam proses pembangunan negara. Sesi Taklimat Umum yang dikendalikan oleh MITI dan SME Corp. Malaysia ini telah dihadiri oleh 300 orang peserta terdiri daripada ahli persatuan industri dan dewan perniagaan Bumiputera di Wilayah Tengah dan agensi-agensi MITI.
Sesi taklimat ini juga membincangkan tentang kandungan Rang Undang-Undang PKS Kebangsaan 2016 yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini. Melalui Akta ini, rangka kerja pembangunan PKS yang sedia ada akan diperkukuhkan ke arah mencapai 41% sumbangan KDNK PKS pada tahun 2020. YB Datuk Ahmad Maslan juga turut berkongsi dengan para peserta tentang perkembangan terkini program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan Local Global Corporations (LGC) Ascend 800 di bawah MITI dan SME Corp. Malaysia khusus untuk PKS Bumiputera.
Pada hari yang sama, YB Datuk Ahmad Maslan bersama-sama dengan YBhg. Datuk (Dr.) Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia turut membuat lawatan rasmi ke Sukimi Lube (M) Sdn Bhd bagi melihat sendiri perkembangan terkini syarikat ini yang banyak mendapat bimbingan dan bantuan oleh agensi Kerajaan terutamanya SME Corp. Malaysia. Di samping lawatan rasmi ini, YB Datuk Ahmad Maslan juga turut melancarkan produk baru keluaran Sukimi Lube, Glide Lubricant. |