Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata program GEB ini adalah inisiatif SME Corp Malaysia dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha memastikan pembangunan kapasiti usahawan Bumiputera dalam meneroka dan bersaing di pasaran luar negara.
"Ini adalah satu pakej bantuan bersepadu meliputi kemudahan pembiayaan, kewangan dengan komponen seperti pembungkusan, pensijilan dan pengurusan sistem kualiti serta pembangunan dan inovasi produk akan disediakan," katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) di sini, pada Khamis.
Selain itu, latihan juga akan disediakan kepada syarikat yang berpotensi khusus untuk memberi pendedahan mengenai keperluan bagi pasaran negara tertentu.
Ia juga mampu mewujudkan rantaian perniagaan dalam kalangan PKS Bumiputera untuk merebut peluang pasaran di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Program GEB ini turut mendapat sokongan daripada lapan Persatuan dan Dewan Perniagaan Bumiputera yang akan terlibat dan memantau perkembangan syarikat.