KUALA KRAI, 11 Mac (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasar untuk melahirkan 12,000 usahawan belia menjelang 2020 di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE MEGA).
Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata setakat ini, seramai 2,433 belia telah dan sedang dilatih bagi menceburi pelbagai bidang keusahawanan sejak program itu mula diperkenalkan pada 2014 hingga tahun lepas.
"Daripada jumlah itu, seramai 2,419 usahawan belia yang telah mendaftarkan perniagaan mereka sekali gus berjaya mewujudkan 4,414 peluang pekerjaan baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program TUBE MEGA 5.0 di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Batu Jong, di sini, hari ini.
Program tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohamed Al Amin berkata pada tahun ini seramai 2,000 belia akan dilatih di bawah program TUBE MEGA 5.0 yang bermula 9 Mac lepas hingga 30 Mac ini di 15 kem PLKN seluruh negara.....