KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan menganjurkan julung kalinya Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) 2018 pada 30-31 Mac ini sebagai salah satu pendekatan bagi menarik usahawan Bumiputera menerapkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan terutamanya dengan kemunculan teknologi kewangan (Fintech).
Pengerusi SME Corp Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata pengunjung dan pempamer yang menghadiri dan menyertai karnival selama dua hari itu perlu menggunakan kaedah pembayaran melalui e-dompet bagi melakukan sebarang transaksi dan mereka juga perlu memuat turun aplikasi khas, HUB 2018 bagi mendapatkan akses ke program dan peta gerai-gerai perniagaan yang dianjurkan sepanjang karnival itu berlangsung.
"Ini adalah bagi memastikan minda peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berubah dan menerima digitalisasi dan menerusi karnival ini, mereka "terpaksa" menggunakan sistem transaksi tanpa wang," katanya kepada media pada sesi taklimat mengenai HUB 2018 oleh SME Corp, di sini, hari ini.
Al Amin turut menjelaskan HUB 2018, yang menggabungkan dewan-dewan perniagaan serta persatuan perniagaan daripada pelbagai industri berbeza, menyasarkan lebih 20,000 usahawan, bakal usahawan, ahli persatuan serta orang awam menghadiri karnival tersebut.
"Mengikut pendaftaran melalui dewan-dewan perniagaan dan sebagainya, seramai 12,000 pengunjung telah mendaftar bagi menghadiri hari pertama karnival ini," katanya.
HUB 2018 turut menyediakan lebih 250 gerai pameran dan kaunter informasi di samping 50 kendera saji.
Menurut data SME Corp, 89 peratus daripada PKS telah mengguna pakai ICT dalam perniagaan mereka, tetapi pada suku ketiga 2017, hanya 28 peratus PKS menjual barangan dan perkhidmatan dalam talian (e-dagang) berbanding 27.2 peratus dicatat pada suku pertama tahun yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Datuk Hafsah Hashim berkata peningkatan penggunaan ICT untuk berurus niaga dalam kalangan peniaga PKS masih rendah, oleh itu agensi tersebut telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menggalakkan aktiviti dalam talian.
"Kita jangkakan peratusan perniagaan dalam talian ini akan meningkat kepada 30 peratus pada hujung tahun," katanya.
Keyakinan ini, kata Hafsah, adalah berdasarkan kepada jumlah PKS yang terlibat dengan Zon Bebas Perdagangan Digital (DFTZ).
"Sasaran awal hanyalah 1,500 PKS, tetapi sehingga kini 1,972 usahawan sudah didaftarkan, jadi kita turut meningkatkan sasaran perniagaan baharu yang terlibat dengan DFTZ kepada 10,000," katanya.
Ditanya mengenai geran atau pinjaman khusus, beliau menjelaskan agensi tersebut telah mengemukakankepada kerajaan cadangan penyediaan geran khusus bagi PKS untuk menggunakan transaksi tanpa wang dan mereka masih menimbangkan cadangan tersebut.
-- BERNAMA