KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan akan melancarkan pangkalan data perniagaan yang lengkap tidak lama lagi untuk membantu usahawan yang lambat menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam usaha mendigitalkan perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata kementerian turut berminat untuk mendapatkan data berkaitan perusahaan yang telah mendigitalkan perniagaan mereka.
“Pangkalan data ini amat penting. Kita juga perlu mendapat maklumat daripada pelbagai kementerian dan agensi, dan kami berharap mereka akan bekerjasama sepenuhnya dengan kami,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kertas Putih Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.
Kertas putih itu merupakan kerjasama antara SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), hasil daripada tinjauan mengenai "Malaysian Digital SMEs" – yang dijalankan oleh kedua-dua organisasi itu.
Sementara itu, Mohd Hatta berharap perniagaan tempatan akan digital sepenuhnya menjelang 2020, berikutan pendigitalan penuh perdagangan akan membawa kepada sehingga enam kali ganda peningkatan jumlah perniagaan yang mengeksport barangan.
Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada infrastruktur Internet, yang pada masa ini hanya 36 peratus daripada negara mempunyai liputan Internet.
“Kita perlu mencapai kira-kira 80 peratus liputan Internet di Malaysia supaya kita dapat (terus) membangunkan negara,” katanya.
Ditanya sama ada cadangan yang disenaraikan dalam kertas putih akan dilaksanakan sepenuhnya, Mohd Hatta berkata ia satu kemungkinan untuk melaksanakan cadangan yang diberikan.
“Saya rasa kami akan menggunakan cadangan ini,” katanya.
Antara cadangan termasuklah mengubah corak pemikiran perniagaan berfikir seperti PKS digital yang inovatif dan memacu transformasi digital mereka.
Terdahulu dalam ucapan, Mohd Hatta berkata dapatan daripada tinjauan mengenai PKS itu menunjukkan PKS yang menggunakan media sosial dan e-dagang mencatatkan peningkatan produktiviti sebanyak 26-27 peratus.
“PKS yang menggunakan penyelesaian pengurusan data turut mencatatkan peningkatan produktiviti sebanyak 60 peratus,” katanya, sambil menambah ini menunjukkan PKS dapat mencapai produktiviti yang lebih tinggi dengan penggunaan teknologi yang lebih baik.
Tinjauan itu dijalankan pada Jun dengan penyertaan sebanyak 2,033 PKS, mewakili semua wilayah dan sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian, bertujuan meninjau penggunaan ICT di negara ini.
Ia turut meneliti pemacu dan halangan kepada transformasi digital melalui lensa PKS tempatan. - Bernama