Oleh itu, tidak hairanlah apabila memperkatakan tentang tugas manusia, maka dron akan turut disebut.

Dron digunakan dalam pelbagai tugasan kerana ciri-ciri yang dimiliki seperti mampu terbang dan bergantung kepada beban bayar atau payload yang dipasang padanya.

Merakam gambar dari udara, menabur racun dalam pertanian dan kini kerja-kerja menghantar makanan sudah mula dipraktikkan menggunakan dron .

Namun, keterujaan masyarakat terhadap dron sebenarnya tidak disertai dengan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya kita menguasai teknologi tersebut. Ini bermakna kebanyakan dron yang ada dalam negara dibeli mengikut kehendak dan keperluan penggunanya.

Berbeza bagi syarikat tempatan, Average Drone RC Sdn. Bhd. yang membangunkan sendiri dron yang mereka miliki.

“Kami bermula sebagai hobi sahaja sebelum berkembang secara perlahan-lahan dan bermula 2014 kerja memasang dron dilakukan sendiri.

“Ketika itu belum ramai yang aktif dalam bidang ini dan belum ada syarikat yang buat dron sendiri,” ujar usahawan dron, Hamdee Hamdan.

Beliau ditemui dalam Ekspo Teknologi Dron Malaysia yang diadakan di Cyberjaya baru-baru ini anjuran Futurise Centre Sdn. Bhd.

Ekspo tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Menurut Hamdee, ketika ini hanya ada dua syarikat dron tempatan tetapi pihaknya lebih menumpukan kepada dron jenis fixed wing atau dron bersayap.

Syarikatnya membangunkan dron menggunakan kepakaran sendiri dengan 11 kakitangan yang mempunyai kemahiran berbeza dan pelbagai antaranya termasuk mekanikal, elektrik serta penerbangan.

Kepakaran penerbangan penting dan kebanyakan staf syarikat berkenaan memiliki kepakaran tersebut.

Bidang tersebut ditawarkan oleh Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) yang amat penting dalam bidang pembangunan dron.

Ini kerana katanya, kebanyakan universiti tempatan tidak menawarkan kursus seumpama itu sebaliknya lebih tertumpu kepada pembangunan badan dan material sahaja.

Beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia membangunkan industri dron sendiri seperti yang diteroka syarikatnya supaya data yang diambil oleh peranti berkenaan tidak terlepas ke negara lain.

Ini kerana payload yang dipasang pada dron seperti kamera dan sensor mengambil data dan imej sangat sensitif dan tidak boleh sewenang–wenangnya terlepas ke tangan pihak lain.

Seperti mana ramai yang ketahui, dron pada asalnya digunakan untuk tujuan tinjauan dan ketenteraan.

PENGUNJUNG tertarik melihat pelbagai jenis dron yang dipamerkan dalam Ekspo Teknologi Dron di CyberbPENGUNJUNG tertarik melihat pelbagai jenis dron yang dipamerkan dalam Ekspo Teknologi Dron di Cyberjaya baru-baru ini. 

Justeru sudah tentu ia sangat sensitif kerana berkaitan apsek keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau memberi contoh antara dron yang dihasilkan oleh syarikatnya dinamakan Octane 1 yang berfungsi melakukan kerja pengambilan data dan imej menggunakan isyarat telemetri.

Octane 1 boleh terbang di kawasan sempit, tidak memerlukan landasan panjang untuk berlepas dan mendarat iaitu dua meter sahaja.

Octane 1 boleh terbang selama sejam tanpaa henti menggunakan bateri dalam jarak penerbangan hingga 40 kilometer.

Berkongsi pendapat mengenai senario industri dron pada masa ini, beliau berkata, ia semakin berkembang berdasarkan kepada minat orang ramai yang semakin meningkat.

Justeru, beliau berharap supaya kerajaan membantu meningkatkan industri berkenaan dengan melabur dan memberi bantuan dana kepada pihak yang serius mahu melibatkan diri.

“Ketika ini banyak pihak yang mahu menceburi bidang tersebut tetapi berdepan dengan masalah kewangan,” ujarnya.

Beliau berkata, syarikatnya sebelum ini menerima geran daripada SMECorp dua tahun lepas bagi tujuan pembangunan dron.

“Kita berharap agensi kerajaan bagi geran kepada pemain-pemain (syarikat)dron, tidak semestinya kepada universiti sahaja

“Kami berharap dana disalurkan kepada pihak tertentu seperti golongan B40 bagi membolehkan mereka menceburi bidang ini yang menawarkan peluang menjana pendapatan,” ujarnya.

Malah, pihaknya telah mendapat permintaan daripada Futurise Sdn. Bhd. untuk menghantar ubat kepada pesakit di kawasan Putrajaya.

Dalam masa sama, kerajaan perlu mewujudkan satu badan yang boleh mengawasi penjalanan industri tersebut terutama yang berkaitan dengan peraturan penggunaan dron.

Beliau memberi contoh, adakah agensi tertentu seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) atau Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab dalam hal tersebut.

Ketika ini mana-mana pihak yang ingin menerbangkan dron perlu mendapat sijil dan pilot atau pengendali mestilah mempunyai kelayakan.

Dalam pada itu menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd. Mahadhir Aziz, pelbagai pihak berkaitan perlu duduk semeja bagi merangka satu garis panduan, peraturan atau mungkin polisi penggunan dron yang lebih selamat di negara ini.

“Kita ada banyak pihak berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang sepatutnya boleh duduk bersama dalam merangka garis panduan untuk penggunaan dron,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha ke arah itu sudah ada tetapi mungkin mengambil masa untuk merealisasikannya.

“Jika semua berjalan lancar diharap tahun depan sudah ada satu kerangka garis panduan,” ujarnya.

Mengenai usaha R&D dron Mahadhir berkata, pihaknya berharap supaya universiti bergabung tenaga untuk membangunkan dron dan syarikat serta usahawan membantu mengkomersialkannya.

Bagi beliau, agak sukar universiti bergerak sendiri dalam membangunkan dron kerana banyak aspek perlu dikaji termasuk keperluan penting dalam pembangunan dron.

“Apakah dron yang perlu dibangunkan dan apa keperluan mendesak seperti fungsi mencari dan menyelamat (S&R),” ujarnya