KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) kini bekerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) untuk menawarkan kemudahan pembiayaan baharu, Pembiayaan Pengukuhan PKS (SMERF).
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, SME Corp dan MIDF menjelaskan ia disediakan untuk membantu sektor yang terpinggir serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah kewangan akibat pandemik.
“Kerjasama ini adalah konsisten dalam menyokong PKS sejak dari awal pandemik dan skim pembiayaan baharu ini bertujuan membantu PKS menguruskan aliran tunai dengan lebih baik sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” menurut kedua-dua pihak.
SMERF, skim pembiayaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) oleh kerajaan yang disalurkan melalui SME Corp dan dilaksanakan oleh MIDF.
Ia dirangka untuk memudah cara PKS yang berdaya maju namun menghadapi kekangan kewangan serta bagi sektor yang terpinggir untuk kekal berdaya tahan dan terus berusaha melalui peningkatan kebolehpasaran produk, kemampanan perniagaan serta penerapan teknologi dan modenisasi, jelasnya.
SME Corp dan MIDF menekankan skim itu menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 atau sehingga 90 peratus daripada jumlah kos yang layak dengan kadar faedah serendah tiga peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata pembiayaan itu akan mengurangkan kekangan aliran tunai yang dihadapi PKS yang berdaya maju dalam mengukuhkan dan mencapai matlamat perniagaan, di samping memperteguh teras perniagaan serta membina kapasiti dan kemampuan.
Sementara itu, Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF, Azizi Mustafa berkata pihaknya menyokong penuh inisiatif ini dengan memberikan sebanyak mungkin bantuan kepada mereka yang terkesan ketika mengharungi tempoh sukar ini.
Permohonan SMERF dibuka kepada PKS mulai 26 Julai, 2021.
PKS dan sektor yang berminat boleh menghubungi MIDF melalui Unit Penasihat Perniagaan di 1-300-88-6433 atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk mendapatkan maklumat lanjut. - BERNAMA