Bahasa: Lain-lain

Kasut, Beg Tangan Lusuh Jadi Sumber Rezeki Ibu Muda

Wanita ini meningkatkan kemahiran diri dengan menyertai pelbagai kursus hingga ke luar negara bagi memastikan tahap kemahirannya setanding dengan individu atau syarikat lain yang menawarkan khidmat sama.

 

Seorang ibu muda sanggup merantau hingga ke Jakarta, Indonesia demi mencari ilmu membaik pulih kasut dan beg tangan lusuh sekali gus menjadikan bidang itu sebagai sumber rezeki bagi membantu menambah pendapatan keluarganya.

 

Aini Eliani Khalid, 28, berkata beg tangan dan kasut juga memerlukan rutin penjagaan khas seperti menggunakan losen dan syampu khusus untuk memanjangkan jangka hayatnya supaya terus menjadi koleksi kesayangan pemiliknya.

“Walaupun nampak mudah, hakikatnya kerja mencuci dan mengecat semula barangan itu memerlukan ketelitian kerana perlu sentiasa cermat memandangkan ada beg tangan dan kasut yang dihantar daripada jenama terkenal berharga ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tualang di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Disebabkan itu, beliau sanggup meningkatkan kemahiran diri dengan menyertai pelbagai kursus hingga ke luar negara bagi memastikan tahap kemahirannya setanding dengan individu atau syarikat lain yang turut menawarkan khidmat sama.

Aini Eliani yang memiliki seorang anak berkata beliau mengambil peluang menubuhkan syarikat ‘Shoelab Services’ bagi membantu orang ramai membaik pulih kasut dan beg tangan lusuh supaya menjadi 'baharu' memandangkan perkhidmatan seumpama itu masih belum ada di Terengganu sebelum ini.

 

“Sebut sahaja apa material kasut atau beg tangan sama ada kanvas, kulit, baldu, nilon atau PVC, saya akan bersihkan sehingga pelanggan berpuas hati. Upah tidak mahal kira-kira RM20 hingga RM60 untuk khidmat cuci sahaja dan RM60 hingga RM150 untuk mengecatnya semula.

“Barangan ini perlu melalui proses perawatan tertentu sama seperti di spa kecantikan. Dimulakan dengan membuang habuk dan kotoran, dicuci, dilap, dikeringkan dan ia perlu dilakukan berulang kali demi hasil yang optimum,” katanya.

Menurutnya setiap kasut dan beg tangan yang dihantar juga perlu dijaga seperti milik peribadi sepanjang proses rawatan kerana pemiliknya pasti mempunyai nilai sentimental tersendiri sehingga sanggup menyimpan barangan itu sebagai koleksi kesayangan.

“Sejak bermula pada Februari 2019, kira-kira 800 pelanggan telah mendapatkan khidmat profesional ini dan sambutan juga semakin memberangsangkan kerana mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya mengenai cabaran dalam bidang berkenaan, Aini Eliani berkata beliau pernah menerima kasut yang sangat lusuh kerana terbiar lama, terdapat katak di dalamnya serta berbau terlalu busuk dengan banyak kesan najis haiwan.

“Alah bisa tegal biasa, itulah yang perlu dihadapi dalam bidang 'spa kasut dan beg tangan' ini namun semua penat lelah itu berbaloi selepas melihat pelanggan tersenyum gembira dengan hasilnya.

“Selain promosi menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram, perniagaan saya juga banyak dibantu oleh promosi mulut ke mulut pelanggan yang berpuas hati dengan sentuhan saya,” katanya yang meraih purata pendapatan bulanan antara RM3,500 hingga RM4,000.

Sebagai usahawan muda, Aini Eliani juga bersyukur kerana perniagaannya mendapat sokongan daripada jabatan dan agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan SME Corporation Malaysia.

“Saya menerima geran pembiayaan daripada YPU melalui Program Usahawan Graduan Sejahtera sebanyak RM12,000 dan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera daripada SME Corp sebanyak RM15,000.

“Selain itu, saya juga pernah mengikuti kursus bimbingan keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara Berhad dan Majlis Amanah Rakyat mengenai selok-belok dunia perniagaan,” katanya yang berhasrat mencipta syampu, bahan cucian dan losen pelembap khas untuk kasut dan beg tangan. - Bernama

 

HUBUNGI KAMI

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp. Malaysia)

Tingkat 6, SME 1, Blok B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2 
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Talian Info: 03-9213 0077
Talian Faks: 03-2775 6001
Emel: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

 

Borang Maklumbalas

PAUTAN AGENSI

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

MENGENAI KAMI
POLISI

PKS di Malaysia

Prestasi PKS & Tinjauan

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Polisi PKS

PROGRAM
INISIATIF
PANDUAN
SUMBER
HUBUNGI KAMI