PERUSAHAAN Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dengan pertumbuhan sebanyak 11.6 peratus dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2022 berbanding 1.3 peratus pada tahun 2021.
Ia termasuk sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat daripada 37.4 peratus pada tahun 2021 kepada 38.4 peratus tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan PMKS itu juga kembali mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan pada kadar 8.7 peratus pada 2022 berbanding 3.3 peratus pada 2021.
"Ini menjadikan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat daripada RM520 bilion pada tahun 2021 kepada RM580.4 bilion pada tahun 2022," katanya.
Bagaimanapun ujarnya, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 10.5 peratus pada tahun lepas berbanding 11.4 peratus pada tahun 2021.
"Ia memandangkan eksport oleh syarikat besar dan multinasional berkembang pada kadar yang lebih tinggi," ujarnya. -- SINAR HARIAN