Tuan Haji Mohd Izham Abdullah
Tuan Haji Mohd Izham bin Abdullah adalah Ketua Pegawai Operasi (Pengurusan dan Kepimpinan) merangkap Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Ketua Pegawai Digital (CDO) bagi SME Corp. Malaysia. Sebagai CIO dan CDO, beliau bertanggungjawab membangun dan memantau Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) yang menggariskan perancangan dan hala tuju strategik bagi penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam menyokong usaha ke arah mencapai matlamat keseluruhan SME Corp. Malaysia, memperkemas dan menyepadukan proses merentas fungsi antara agensi bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
Beliau diberikan tanggungjawab untuk menyelaras pembangunan, pengoperasian dan pengurusan sistem dan infrastruktur ICT yang menyeluruh dan utuh serta selamat berdasarkan ciri-ciri modular, ketersambungan, saling boleh kendali dan kemudahalihan. Selain itu, beliau juga menetapkan hala tuju sistem aplikasi agensi bagi mengurangkan masa dan kos pembangunan, penyelenggaraan dan pengoperasian. Sekali gus beliau bertanggungjawab untuk memelihara integriti data elektronik, keselamatan siber, menggalakkan perkongsian maklumat dan menyediakan kaedah bagi penyebaran maklumat secara elektronik kepada pengguna yang diberi kebenaran rasmi sama ada di dalam atau di luar SME Corp. Malaysia.
Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Dasar dan Pembangunan atau Jawatankuasa Utama yang menggubal dasar dan bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha KUSKOP atau Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia. Tanggungjawab lain beliau termasuklah menggalakkan penggunaan ICT yang berkesan dan bersepadu bagi mencapai matlamat strategik SME Corp. Malaysia dan bertindak sebagai ejen dan perintis perubahan (champion of change), memimpin penglibatan SME Corp. Malaysia dalam usaha Kerajaan untuk membangun dan melaksanakan projek ICT sektor awam yang membawa kepada perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam, memastikan keselamatan aset ICT, menentukan keperluan keselamatan ICT, serta membangun dan menyelaras pelaksanaan pelan latihan dan program kesedaran mengenai keselamatan ICT.